BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, May 25, 2009

Buku adik..

Aku terpanggil untuk menulis lagi. Rasanya banyak yang terpendam ni. Tak tau mana yang nak ditulis dulu. Hmm...baru-baru ni aku keluar dengan adik aku nak beli buku dan alat tulis. Tengah sibuk memilih, adik aku datang kat tepi dan tarik baju aku. Dia tarik aku bawa ke tempat buku kanak-kanak. Aku tahu dah, mesti dia nak sesuatu. Aku pun ikutkan saja. Sampai je kat situ, dia berhenti betul-betul depan rak buku mewarna kanak-kanak. Ada banyak gambar kartun yang kita biasa tonton kat tv. Power Rangers, Ultraman dan macam-macam lagi. Dia pandang aku dengan penuh mengharap. Aku geleng kepala. Tak boleh. Memang budak-budak cam dia suka nak mewarna tapi banyak lagi buku-buku kat rumah yang dia tak abis warna.

Dah terlanjur ke bahagian bacaan kanak-kanak, aku cuba alihkan perhatian adik aku. “Dik, kita beli buku cerita nak?”, saja bertanya. Sebenarnya nak pujuk dia. “Tak nak! Orang nak buku mewarna”,jawabnya sambil memuncungkan mulut. “Jomlah kita tengok dulu. Banyak buku ni. Ada cerita binatang, dongeng, kisah nabi...hmm, cerita hantu pun ada. Adik pilih nanti kat rumah Along bacakan ye”, aku cuba lagi memujuk. Dia suka kalau dibacakan cerita. Pantang ada nampak gambar kartun, mesti suruh aku bacakan. Tapi dia tetap tak berganjak dari depan rak itu lagi. Aku tarik tangan dia dan ambil satu buku cerita dan tunjukkan padanya. Dia tengok buku tu takde perasaan langsung. Lagi nak tunjuk muka masam tu adalah.

Tiba-tiba aku tertarik dengan satu buku ni. Aku selak dan baca sikit isi kandunagn buku tu. Bagus juga ceritanya. Buku yang ringkas untuk kanak-kanak belajar mengenal Tuhan. Dekat-dekat dengan buku tu, ada buku kisah-kisah nabi. Aku tertarik dengan buku itu lantas aku capai dan hulurkan kepada adik. Dia buat tak peduli je. Rupa-rupanya dia tengah menyelak sebuah buku cerita hantu. Tengok kulit buku tu saja aku dah tak berkenan. Adik aku berdiri menghadap buku cerita hantu. Banyak juga la.
“Tak payahlah beli buku cerita hantu, tak best”, aku berkata sambil mengambil buku tu dari tangannya. Aku belek-belek buku tu. “Along tak kisah adik nak pilih buku cerita lain tapi bukan buku cerita hantu. Merapu tau tak?”, aku mengomel. “Eeeiiii...along ni. Ni tak boleh, tu tak boleh”, mukanya masih masam mencuka. Aku dengan tak rela hati pun ambil buku tu bawa ke kaunter dan terus bayar.
Dalam perjalanan balik, belum sempat sampai ke rumah, dia dah suruh aku bacakan buku tu. Aku cakap tunggu sampai rumah baru boleh baca. Buka je pintu rumah, apalagi dia tuntut janji la. “Cepat bacakan adik buku”,katakan sambil menarik tangan aku. Aku duduk dan terus membacakan buku untuk adik aku yang manja teramatlah sangat ni. Dia khusyuk mendengar sambil tengok lukisan kartun dalan buku tu. Muka surat pertama lagi dah mengecewakan aku. Buku tu buku cerita bahasa Melayu tapi susunan ayat banyak yang salah. Lebih tepat lagi, tak macam bahasa Melayu. Ayat pulak berbelit-belit. Dalam kepala otak aku, betul gak apa yang aku pikir masa nak belikan buku ni tadi. Aku tengok buku tu pun aku dah tak suka.

Aku sabar lagi. Aku baca helaian seterusnya. Lagi aku baca, lagi bosan. Nak tergelak pun ada bila baca ayat dalam buku tu. Pengulangan ayat yang sama yang kerap. Aku tak nampak nilai-nilai murni yang sepatutnya diterapkan dalam buku bacaan kanak-kanak. Sampailah ke muka surat terakhir, aku tak nampak apa yang hendak disampaikan penulis. Mesej cerita tu kabur dan merapu. Apa yang aku lihat, buku itu hanya memomokkan atau lebih tepat lagi menakutkan kanak-kanak pasal hantu. Terus-terang aku katakan, aku tak puas hati langsung membeli buku tu. Bukan pasal duit. Buku kanak-kanak bukanlah mahal sangat pun. Tapi kualiti buku itu. Mungkin dah ketandusan idea atau terpengaruh dengan dengan filem, aku sendiri tak pasti. Filem seram memang diminati tapi idea menulis cerita hantu untuk bahan bacaan kanak-kanak, aku rasa bukanlah idea yang bernas.

Apa yang kita lakukan sepatutnya kita harus memikirkan kesannya kepada golongan yang kita sasarkan. Jika kita mensasarkan kanak-kanak, maka kita perlu tahu bahawa kita perlu mendidik mereka dengan nilai-nilai positif.

Apapun, ini cuma pendapat aku. Kita perlukan sesuatu yang berkualiti untuk menjadikan anak-anak Malaysia yang ada nilai tambah dalam masa 10 ke 20 tahun lagi. Di sinilah pembangunan modal insan akan bermula..

0 comments: